widget

Isnin, 25 September 2017

Anak lelaki

Pernah dengar pepatah Afrika yang bermaksud "It takes a village to raise a child"?

Hendak membesarkan anak lelaki yang boleh menjadi ketua/imam, bertanggungjawab, resilien, menghormati orang lain, peduli masyarakat, 'gentleman', 'macho', matang dan bijak bukanlah tanggungjawab ibubapa sahaja malah seluruh anggota masyarakat.
Ibubapa adalah pendidik utama tetapi semua pihak ada peranannya yang tersendiri.

Zimbardo dan Coulombe mengupas tentang kesukaran dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anak lelaki dalam era teknologi yang telah menjadikan mereka kurang ‘jantan’. 
Apabila harapan yang diletak terlalu tinggi tetapi mereka tidak dibimbing, tidak diberi galakan, tidak dipuji usahanya dan sering diabaikan kerana mereka ‘gagal’ memenuhi harapan, mereka akhirnya beralih kepada video game dan pornografi yang hanya berada di hujung jari.  Di arena itu mereka merasa lebih berjaya, lebih dihargai dan lebih mempunyai kuasa.

Antara saranan penulis (dan olahan saya) untuk memperkasakan anak lelaki:

APA YANG KERAJAAN BOLEH BUAT?

1) Kerajaan patut memberi penekanan kepada betapa pentingnya keterlibatan seorang bapa dalam proses membesarkan seorang anak.  Ayah adalah role model terutamanya kepada anak lelaki.  Bagaimana ayah, begitulah anaknya nanti.
2) Bagi yang terpaksa melalui proses perceraian, perlu ada undang-undang (yang dikuatkuasakan dan tegas) yang memastikan si ayah memberi nafkah dan tetap memikul tanggungjawab sepatutnya sebagai seorang ayah.
3) Galakkan lebih ramai lelaki untuk menyertai bidang pendidikan kerana anak-anak lelaki memerlukan role model lelaki di sekolah.  Usaha ini memerlukan inisiatif dan imbuhan yang sewajarnya untuk menarik minat guru-guru lelaki dan juga wanita yang berkualiti.
4) Lebih serius menangani isu pornografi, pornografi kanak-kanak dan juga penderaan seksual kanak-kanak.  Ini semua membinasakan masyarakat terutamanya anak lelaki dan lelaki.

APA YANG SEKOLAH BOLEH BUAT?

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh penulis (TED Survey) kebanyakan murid lelaki mencadangkan agar sekolah juga lebih menekankan kepada pembelajaran ‘life skills’ yang boleh mengajar mereka menguruskan diri dan menjadi lebih bertanggungjawab apabila dewasa.

Penekanan harus diberikan kepada keupayaan untuk berdikari, tidak ‘spoon-feed’, diberi kebebasan dan latihan untuk berfikir sendiri dan menggunakan teknik pengajaran/pedagogi yang mengambil kira perkembangan dan cara murid lelaki belajar.

APA YANG IBUBAPA BOLEH BUAT?

1) Ayah patut menjadikan tanggungjawab sebagai seorang bapa itu satu prioriti.
2) Usahlah menjadi seorang ayah yang terlalu sibuk dari pagi hingga ke malam, menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada ibu, guru dan pembantu semata-mata kerana kesannya akan dilihat apabila anak meningkat remaja.
Jika ayah gagal ‘connect’ dengan anak lelaki ketika kecil, mereka akan ‘kehilangan’ anak dari usia remaja di mana kehadiran seorang ayah itu sangat penting.

APA YANG MEDIA BOLEH BUAT?

1) Perbanyakkanlah rancangan/pesanan yang memperkasakan anak lelaki, yang mendidik mereka tentang nilai tanggungjawab dan peduli kepada keluarga dan masyarakat.
2) Kurangkan drama-drama simplistik tentang anak lelaki yang tamat pengajian terus memegang jawatan tertinggi korporat, berbanglo besar, berkereta mewah, berteman wanitakan perempuan tercantik dan terhangat.  Berikan gambaran yang sebenar tentang realiti masyarakat supaya anak lelaki kurang berkhayal dan lebih berpijak di bumi nyata.

Jika anda mempunyai anak lelaki dan anak perempuan, begitu juga murid lelaki dan murid perempuan di sekolah, tentu anda sedar akan perbezaan antara kedua-duanya.  Cara mereka berbeza, tenaga mereka berbeza, emosi mereka berbeza, dan pemikiran mereka juga berbeza.  Ambil kira perbezaan itu untuk mendidik dan membesarkan mereka.

Jangan lupa “IT TAKES A VILLAGE TO RAISE A CHILD”.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts